Bismillahirrahmanirrahim.
Assalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Saya berbangga untuk mengalu-alukan semua pihak ke Laman web Rasmi Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA). Laman web rasmi ini menjadi satu platform bagi HTAA dalam memperkasa informasi maklumat dan inovasi perkhidmatan kepada masyarakat selaras dengan usaha kerajaan untuk membudayakan digitalisasi di Malaysia.
Sebagai hospital rujukan utama bagi negeri Pahang Darul Makmur, HTAA memikul tanggungjawab yang besar dalam memastikan kelangsungan kualiti kesihatan
masyarakat setempat dan zon Pantai Timur secara amnya.
Matlamat utama HTAA ini adalah untuk menyediakan perkhidmatan kepakaran yang bukan sahaja berteknologi tinggi, malah selamat dan efektif. Selain itu, HTAA juga komited untuk terus memperkasakan sub-kepakaran sedia ada serta meningkatkan kecekapan pengurusan pesakit selaras dengan visi dan misi Kementerian Kesihatan
Malaysia.
Dalam mendepani cabaran perubatan moden, HTAA kini turut giat mengintegrasikan elemen digital dalam sistem penyampaian perkhidmatan. Inovasi bukan lagi satu pilihan, tetapi keperluan untuk memastikan proses kerja menjadi lebih efektif, sekaligus mengurangkan masa menunggu dan meningkatkan kepuasan pelanggan.
Kejayaan sesebuah hospital tidak hanya diukur pada kecanggihan peralatannya, tetapi pada nilai kemanusiaan yang diterapkan oleh warga kerjanya. Saya menyeru agar seluruh warga kerja HTAA untuk terus mengamalkan budaya kerja berpasukan yang utuh serta melayani setiap pesakit dengan penuh empati dan integriti.
Akhir kata, saya ingin merakamkan penghargaan yang tidak terhingga kepada seluruh warga kerja HTAA atas dedikasi tanpa jemu yang diberikan. Terima kasih juga kepada Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Kesihatan Negeri Pahang, pihak berkepentingan, badan-badan bukan kerajaan (NGO), dan semua yang sentiasa menyokong HTAA dalam usaha menyelamatkan nyawa serta meningkatkan kualiti
hidup masyarakat secara amnya. Bersama-sama, kita jadikan HTAA sebuah institusi perubatan yang disegani, berteraskan kecemerlangan dan ihsan.
Sekian, terima kasih.