Skip to main content

Portal Rasmi Hospital Tengku Ampuan Afzan

Portal Rasmi Hospital Tengku Ampuan Afzan

Unit Perubatan Sukan

DR. KHAIRULLINA KHALID

Ketua Unit Perubatan Sukan

  • drkhairullina[at]moh[dot]gov[dot]my

  • 09-557 2660 samb. 2659

PENGENALAN

Perkhidmatan Perubatan Sukan merupakan salah satu bidang kepakaran klinikal di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mula diperkenalkan sejak tahun 2001. Bidang ini menyediakan rawatan dan program pemulihan yang menyeluruh bagi kecederaan muskuloskeletal — sama ada akut atau kronik — yang melibatkan tisu lembut seperti otot, tendon dan ligamen. Kecederaan tersebut boleh berpunca daripada aktiviti sukan, senaman, aktiviti fizikal harian mahupun kemalangan.

Keistimewaan Pakar Perubatan Sukan terletak pada kemahiran penggunaan imbasan ultrasound muskuloskeletal (MSK Ultrasound) bagi tujuan diagnostik dan rawatan, serta kepakaran dalam bidang perubatan senaman dan sains sukan yang merangkumi fisiologi senaman, pemakanan sukan, psikologi sukan, kekuatan dan pengkondisian (strength and conditioning), serta biomekanik pergerakan. Pengetahuan dan kemahiran ini hanya diperoleh melalui latihan dalam bidang Perubatan Sukan dan tidak ditawarkan dalam kepakaran perubatan lain.

Selaras dengan peranan dan kepakaran tersebut, Pakar Perubatan Sukan menerima rujukan daripada pelbagai disiplin perubatan lain, sama ada secara langsung mahupun tidak langsung. Antara rujukan utama ialah daripada bidang Ortopedik, Perubatan Kecemasan, Perubatan Rehabilitasi, Rheumatologi, Pengurusan Kesakitan dan Kesihatan Primer (Klinik Kesihatan). Sebagai contoh, perkhidmatan Ortopedik merujuk kes kecederaan tisu lembut bagi tujuan diagnosis, rawatan konservatif dan program pemulihan. Selain itu, pesakit yang menjalani pembedahan seperti artroskopi (Bankart Repair, Rotator Cuff Repair, Ligament Reconstruction, Meniscus Repair) dan artroplasti (Joint Replacement Surgery) turut dirujuk bagi program senaman pra dan pasca pembedahan.

Bidang lain seperti Perubatan Dalaman, Pediatrik, Surgeri, Rehabilitasi dan Kesihatan Primer juga merujuk pesakit bagi preskripsi senaman dan konsultasi perubatan senaman, khususnya untuk pengurusan penyakit tidak berjangkit (Non-Communicable Diseases – NCD) seperti obesiti, diabetes mellitus dan hipertensi. Rujukan turut diterima daripada hospital daerah, hospital swasta dan klinik swasta untuk perkhidmatan yang berkaitan.

Di Negeri Pahang, Perkhidmatan Perubatan Sukan mula beroperasi di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan sejak tahun 2020. Unit ini mendapat pengiktirafan rasmi pada 16 April 2021 dan diketuai oleh Dr. Khairullina Khalid, Pakar Perubatan Sukan.

PERKHIDMATAN TERAS PERUBATAN SUKAN DAN SENAMAN

  • Pengurusan kecederaan muskuloskeletal akut dan kronik
    Melibatkan otot, tendon, ligamen, rawan dan tulang, termasuk kecederaan akibat trauma, penggunaan berlebihan (overuse injury), serta kondisi perubatan berkaitan senaman/ kecederaan semasa aktiviti fizikal.

  • Program rehabilitasi pra dan pasca pembedahan
    Menyediakan latihan dan pemulihan untuk pesakit yang menjalani pembedahan sukan, pembedahan penggantian sendi (artroplasti) atau trauma seperti ACL Reconstruction, Rotator Cuff Repair dan Total Knee Replacement.

  • Preskripsi senaman untuk penyakit kronik dan NCD 
    Memberikan penilaian kecergasan (fitness assessment) dan preskripsi senaman yang selamat serta berkesan bagi pesakit obesiti, diabetes mellitus, hipertensi, osteoartritis dan lain-lain penyakit kronik berkaitan.

  • Intervensi Muskuloskeletal (MSK) bagi kecederaan akut dan kronik
    Menggunakan pendekatan MSK Point-of-Care Ultrasound (POCUS) bagi tujuan diagnostik dan rawatan, termasuk prosedur terapeutik berkaitan.

  • Sumbangan dan penglibatan Perubatan Sukan dalam Kesihatan Awam
    Melibatkan promosi aktiviti fizikal, kesedaran gaya hidup sihat sepanjang hayat dan pencegahan kecederaan akibat sukan atau aktiviti fizikal berulang.

  • Koordinasi dalam Liputan Perubatan Sukan (Sports Medical Coverage)
    Menjalankan peranan sebagai Team Physician dalam pelbagai kejohanan atau kontinjen sukan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.* (*tertakluk kepada Pekeliling Kesihatan Bil 2/2007 Liputan Pasukan Perlindungan Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Polisi Kebangsaan Perkhidmatan Perubatan Sukan KKM).

VISI

Menjadi pusat perkhidmatan dan latihan kepakaran Perubatan Sukan yang unggul, cemerlang dan sentiasa relevan dengan keperluan sistem penjagaan kesihatan negara.

MISI

Komited untuk menyediakan perkhidmatan berkualiti tinggi melalui semangat kerja berpasukan, kasih sayang dan profesionalisme yang berteraskan pengetahuan terkini. Kami berhasrat untuk memperkukuh kerjasama dengan semua pemegang taruh bagi membantu rakyat mencapai potensi kesihatan optimum melalui aspek pencegahan, rawatan, rehabilitasi dan promosi kesihatan, selaras dengan aspirasi Kementerian Kesihatan Malaysia.

OBJEKTIF

  1. Menyediakan perkhidmatan perubatan sukan yang cekap, komprehensif dan berkualiti tinggi merangkumi pencegahan, rawatan dan pemulihan kecederaan sukan serta masalah muskuloskeletal lain akibat aktiviti fizikal dan kemalangan.
  2. Mengamalkan preskripsi senaman yang betul, selamat dan bersesuaian bagi memastikan hasil rawatan yang optimum kepada pesakit.
  3. Menawarkan khidmat konsultasi profesional berkaitan isu-isu Perubatan Sukan dan Sains Sukan.
  4. Mengaplikasikan senaman dan aktiviti fizikal sebagai kaedah rawatan serta pencegahan penyakit tidak berjangkit seperti obesiti, diabetes mellitus, hipertensi dan penyakit kardiovaskular.
  5. Membantu Kementerian Kesihatan Malaysia dalam usaha mengurangkan kadar morbiditi dan mortaliti akibat penyakit tidak berjangkit di kalangan masyarakat.
  6. Menyediakan persekitaran kerja yang kondusif bagi memastikan perkhidmatan yang cemerlang kepada pelanggan dan masyarakat.
  7. Meningkatkan pengetahuan dan kemahiran profesional melalui pembelajaran berterusan dalam bidang kepakaran Perubatan Sukan.
Tarikh Kemaskini : 5 November 2025